Putrajaya, 30 Mac – YBhg. Tan Sri Rozali Ismail, Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) telah menyampaikan sumbangan tunai berjumlah RM1 juta kepada Tabung Covid-19 yang telah diterima oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia di bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.
Dalam majlis yang sama, YBhg. Tan Sri Rozali Ismail melalui TRIplc Medical Sdn. Bhd turut menyerahkan simbolik sumbangan bantuan peralatan kepada Pusat Pengajian Klinikal, UiTM Sg. Buloh dengan persetujuan Kerajaan Malaysia bernilai RM5 juta. Sumbangan peralatan ini diharapkan dapat menampung bilangan pesakit berkaitan Covid-19 di sekitar kawasan Sungai Buloh. Peralatan perubatan yang disumbangkan termasuklah 28 unit Ventilators, 6 unit Patient Monitors, 1 unit Haemodialysis dan 1 unit Portable Reverse Osmosis (RO) Water.
Insiatif ini dilaksanakan atas kesedaran bahawa usaha ini memerlukan perbelanjaan yang besar, apatah lagi wabak ini bukan hanya meragut nyawa manusia bahkan juga telah melumpuhkan ekonomi di banyak negara di dunia termasuk Malaysia.
YBhg. Tan Sri Rozali Ismail berkata, “Sebagai salah sebuat syarikat awam berhad di Malaysia, ini adalah menjadi tanggungjawab sosial korporat kami untuk membantu pihak kerajaan serta Kementerian Kesihatan Malaysia dari segi kewangan dalam pembelian kelengkapan perubatan yang kritikal serta keperluan lain bagi membantu usaha pemulihan pesakit yang dijangkiti wabak ini.”Â
Majlis ini turut dihadiri oleh wakil-wakil syarikat korporat lain yang turut menyumbang kepada Tabung Covid-19 iaitu Naza Corporation Holdings Sdn. Bhd, E-Idaman Sdn. Bhd, Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) dan Leong Hup International Berhad, The Edge Media Group
PNHB turut merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh barisan hadapan (frontliners) yang terdiri daripada kakitangan kesihatan dan keselamatan yang gigih berusaha membendung penularan wabak Covid-19.
Puncak Niaga dan anak-anak syarikat yakin dengan langkah-langkah yang telah diambil dan sedang dilaksanakan oleh Kerajaan, penularan Covid-19 dapat dibendung dan keamanan negara dapat dikembalikan.